Rekod lampau tidak seharusnya menjadi ukuran dalam menilai kemampuan Timor Leste bagi aksi sulung Kejohanan Piala Solidariti AFC 2016, kata ketua jurulatihnya, Fabio Da Silva.

Menurutnya, rekod lampau menunjukkan pasukannya hanya menang sekali dalam lima aksi menentang Brunei Darussalam.

"Kali ini, kami menampilkan pemain-pemain baru dan pemain muda, yang rata-ratanya daripada skuad bawah 19 tahun.

"Meskipun kurang pengalaman, mereka memiliki semangat dan keterujaan yang luar biasa," katanya ketika ditemui dalam sidang media khas, semalam.

Dalam pusingan kelayakan Piala AFF Suzuki 2016 di Kemboja, skuad muda itu gagal mencipta sebarang kemenangan apabila tumpas 1-2 kepada Brunei, 1-2 kepada Laos dan 2-3 kepada tuan rumah, Kemboja.

Mereka juga gagal dalam kelayakan Piala Asia baru-baru ini, dengan tumpas 0-3 di halaman sendiri dan tempat lawan menentang Malaysia, selain kecundang 1-2 dalam aksi timbal balik dengan Taiwan.

Biarpun berkedudukan di ranking ke-186 dunia, ketua jurulatih skuad “The Rising Sun” itu tetap yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya.

"Kami harus optimis dan menilai setiap perlawanan yang akan berlangsung.

"Untuk kali ini, kami akan memberikan sepenuh fokus kepada pasukan Brunei yang menumpaskan kami dua minggu lalu," katanya.

Bagi Da Silva, anak-anak buahnya mampu untuk pergi lebih jauh kerana mereka masih muda.

"Ini merupakan perlawanan pendedahan yang amat berguna bagi mereka dalam membentuk gandingan mantap dan berpengalaman pada masa depan," jelasnya lagi.

Aksi terakhir mereka menentang Kemboja dalam kelayakan Piala AFF Suzuki pada 21 Oktober lalu, katanya, amat menarik.

"Pemain-pemain saya menunjukkan kesungguhan yang luar biasa.

"Jika mereka dapat mengekalkan corak permainan yang sama, saya yakin mereka akan melangkah lebih jauh dalam kejohanan ini.

"Mungkin hingga ke final," katanya lagi.

Sehubungan itu, Da Silva mahu anak-anak buahnya mencipta kemenangan dalam aksi menentang Brunei pada malam ini.

"Kami bermain tanpa tekanan. Oleh itu, kami tiada pilihan lain kecuali menang untuk melangkah ke peringkat seterusnya,” katanya lagi, yang akan membariskan beberapa pemain naturalisasi.