Selangor dan Kedah gagal menghasilkan sebarang jaringan dalam aksi separuh akhir pertama Piala Presiden di Stadium Selayang, hari ini.

Kedua-dua pasukan masing-masing menurunkan kesebelasan utama mereka, di mana kelibat Muhammad Syahmi Safari dan Muhd Akhyar Abdul Rashid turut menjadi tumpuan dalam perlawanan itu

Pada separuh masa pertama, penguasaan dapat dilihat daripada pasukan tuan rumah dengan menyaksikan percubaan pertama daripada Syahmi hampir membuahkan hasil, namun rembatannya tersasar ke tepi gawang gol.

Pertahanan pasukan pelawat beberapa kali diuji oleh Selangor yang garang mengasak untuk memburu gol, malangnya tidak berjaya.

Jurulatih Selangor, Omar Ali, menganggap penguasaan perlawanan dikuasai oleh mereka tetapi hanya penyudah yang sempurna gagal diberikan.

"Peluang agak seimbang. Pasukan Selangor berjaya mengawal permainan tetapi macam yang kita nampak, pemain-pemain saya banyak melepaskan peluang.

"Diharapkan agar mereka dapat bangkit dalam aksi kedua di Kedah nanti," katanya.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Victor Andrag, tidak berpuas hati dengan momentum yang ditampilkan anak buahnya selepas kerap kali membiarkan peluang direbut oleh tuan rumah pada babak kedua perlawanan.

"Banyak kelemahan yang perlu dipertingkatkan kerana Kedah tidak menampilkan aksi sebenar pada hari ini. Kami akan mengkaji semula segala kekurangan," katanya.

Separuh akhir kedua akan berlangsung di Alor Setar pada Jumaat ini.