“Maaf, kami gagal menjulang Piala Presiden di halaman sendiri,” itu reaksi pertama jurulatih Terengganu, Mustaffa Kamal Abd Wahab, kepada penyokong negeri itu selepas tewas dengan agregat 1-2 kepada Selangor dalam aksi final Piala Presiden, malam tadi.

Menurut Mustaffa Kamal, Terengganu mempamerkan persembahan terbaik mereka namun hanya berupaya menjaringkan satu gol meskipun mencipta peluang untuk menambah jaringan.

“Inilah bola sepak. Apabila tidak mengambil kesempatan, akibatnya kami tewas.
Begitupun pemain-pemain sudah berjuang habis-habisan,” katanya.

Di sebalik kekalahan itu, dia tetap berbangga dengan pencapaian ditunjukkan pasukan bimbingannya yang melepasi sasaran awal hanya ke separuh akhir.

Ujarnya, dengan 50 peratus pemain sudah melepasi had umur untuk saingan 2018, mereka berpotensi menjadi tonggak skuad utama Terengganu dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

“Pasukan ini ialah masa depan Terengganu.

“Kelibat perancang tengah, Mohd Haidhir (Suhaini), ketua pasukan, Muhd Fazirhikwan (Mat Rani) serta beberapa lagi pemain perlu dinilai Irfan Bakti (Abu Salim),” tambah Mustaffa Kamal.