Juara bertahan Piala Presiden, Kelantan, membawa bekalan satu gol berharga selepas seri 1-1 dengan Terengganu dalam separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, petang tadi.

Awal perlawanan menyaksikan pelawat memberi tekanan melalui sepakan percuma Muhammad Azwan Aripin (m-3) serta tandukan Muhammad Syaiful Alias (m-6) yang gagal menepati sasaran.

Kelekaan barisan pertahanan Kelantan nyaris dihukum tuan rumah, malangnya percubaan leret Muhd Aliff Fitri Jefri pada minit ke-20 mudah dibaca Ahmad Syihan Hazmi Mohd.

Penjaga gol Terengganu, Mohamad Shafawi Mohamad, turut bertindak cemerlang menafikan dua serangan Kelantan menerusi Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-23 dan ke-38.

Tuan rumah berpeluang menamatkan separuh masa dengan gol pembukaan, begitupun sepakan padu pemain pertahanan, Dhiyaulrahman Hasry (m-44) dari luar kotak penalti tepat ke dakapan Ahmad Syihan.

Lima minit bersambung dalam babak kedua, Muhd Shafiq Shahrizan, hampir menceriakan kem tuan rumah menerusi tandukan hasil sepakan penjuru yang sedikit melepasi pintu gol Kelantan.

Kelantan mengejutkan Terengganu dengan gol pertama pada minit ke-72 selepas Nik Akif Syahiran memanfaatkan hantaran leret Mohammad Imran Samso dari sebelah kanan.

Hanya dua minit kemudian, Terengganu menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Muhd Alif Fitri yang bijak menyambar hantaran Mohammad Rahmat Makasuf.

Tiada tambahan jaringan sehingga wisel penamat dibunyikan, sekaligus memberi kelebihan kepada skuad kendalian Hashim Mustapha itu dalam aksi kedua di Kota Bharu, Jumaat ini.