Piala Negara-Negara Afrika: Gol sendiri Tunisia bawa Senegal ke pentas final 

Oleh Staff Writer 15 Julai 2019 2092
Piala Negara-Negara Afrika: Gol sendiri Tunisia bawa Senegal ke pentas final 
SENEGAL 1 TUNISIA 0

Senegal mara ke perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2019 buat kali kedua dalam sejarah setelah menumpaskan Tunisia 1-0 dalam masa tambahan satu perlawanan dramatik yang menyaksikan kedua-dua pasukan gagal memanfaatkan sepakan penalti.


Finalis 2002 itu melepasi halangan Uganda dan Benin dengan kemenangan tipis 1-0 dalam dua pusingan kalah mati sebelum ini untuk mengekalkan rekod pertahanan ampuh mereka di Kaherah, Mesir selepas menemui jalan untuk mengatasi Tunisia yang dinafikan penalti pada lewat permainan. 

Henri Saivet mensia-siakan peluang berharga untuk memastikan Senegal lolos dan mengelak masa tambahan apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti, lima minit setelah pemain lawan, Ferjani Sassi, melakukan hal yang sama.

Bagaimanapun, kemenangan mereka hadir daripada gerakan yang tidak disangka-sangka apabila Dylan Bronn tertampan bola ke gawang selepas permainan memasuki 10 minit masa tambahan. 

Skuad kendalian Aliou Cisse itu bakal menghadapi Algeria dalam aksi penentuan juara tetapi Tunisia pasti kecewa apabila penalti yang pada awalnya dihadiahkan kepada mereka dibatalkan selepas pemeriksaan video bantuan pengadil (VAR).

Senegal mendominasi separuh masa pertama dan sepatutnya memimpin permainan dalam babak kedua apabila sepakan lencong Youssouf Sabaly dari jarak 18 ela terkena tiang gol. Sadio Mane kemudian melepaskan rembatan yang tidak mengenai sasaran ekoran hilang keseimbangan setelah bekerja keras mengatasi Mouez Hassen.

Taha Khenissi dan Sassi sempat menguji pintu gol Senegal yang dikawal rapi Alfred Gomis dalam tempoh satu minit permulaan babak kedua.

Perlawanan bertukar rancak tatkala masa sebenar permainan bersisa 17 minit yang menyaksikan kedua-dua pasukan diberikan sepakan penalti.

Percubaan Sassi disekat Kalidou Koulibaly dengan lengannya di dalam kotak penalti tetapi tendangan pemain tengah itu ke arah bawah kanan dapat diduga Gomis. 

Tiga minit selepas itu, tiba giliran Senegal dikurniakan sepakan penalti selepas Bronn menjatuhkan Ismaila Sarr, namun sepakan Saivet yang menuju ke bawah kanan pintu gol dipatahkan.  

Begitupun, nasib seakan tidak menyebelahi Tunisia apabila usaha Hassen yang cuba mematahkan hantaran silang lawan, berakhir ke lengan lalu menuju ke muka Bronn sebelum bola itu bergolek melintasi garisan gol. 

Satu lagi insiden luar biasa menyaksikan pengadil memberikan sepakan penalti ketiga perlawanan selepas 115 minit permainan apabila tandukan Salif Sane terkena lengan Idrissa Gueye tetapi hukuman itu dibatalkan selepas pemeriksaan VAR sehingga menimbulkan kemarahan pemain Tunisia.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen