Aliou Cisse menegaskan supaya Senegal menggunakan peluang untuk menamatkan penantian merangkul gelaran Piala Negara-Negara Afrika.

The Lions of Teranga, yang tidak pernah menjuarai kejohanan benua itu, berdepan Benin di Kaherah awal pagi esok dalam memburu slot ke separuh akhir.

Kejohanan kali ini bersifat terbuka selepas penyingkiran pasukan seperti Maghribi, Mesir dan juara bertahan, Cameroon, dalam pusingan kalah mati.

Selepas mengatasi Uganda dalam pusingan 16 hasil jaringan Sadio Mane pada minit ke-15, ketua jurulatih Senegal, Cisse, berharap finalis 2002 itu dapat menamatkan penantian dan mencipta sejarah.

"Benar, Cameroon tidak akan mempertahankan kejuaraan, pilihan utama sudah tersingkir dalam saingan kali ini," katanya.

"Ia memberikan kami harapan untuk mencipta kejayaan pada edisi kali ini.

"Tetapi seperti apa yang saya katakan, harapan saja tidak mencukupi. Kami perlu bekerja keras dan memberikan tumpuan penuh sepanjang permainan."

Benin bertanggungjawab sebagai penyingkir pilihan utama, Maghribi, menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan tamat dengan keputusan 1-1.

The Squirrels seri ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan sebelum mengatasi Maghribi tetapi pengendali pasukan, Michel Dussuyer, menegaskan perjalanan mereka melangkah ke suku akhir bukan satu kebetulan.

"Kehadiran kami di peringkat ini bukan bergantung kepada nasib. Kami telah berusaha dan saya mempercayai kebolehan pemain-pemain saya," katanya lagi.