UKM FC meletakkan sebelah kaki ke separuh akhir saingan Piala FAM apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Kuching FA di Stadium Negeri, Sarawak, malam tadi.

Anak-anak buah Sulaiman Hussin itu meledakkan dua gol untuk menghampakan lebih 1,000 penyokong Kuching FA ketika aksi berat sebelah yang membenarkan UKM FC menguasai hampir sepenuh perlawanan.

Jaringan Muhammad Hasrul Nurkholis Hasim pada minit ke-26 manakala Muhammad Azryl Reza Zamri pada minit ke-73 meranapkan semangat juang Kuching FA biarpun sebelum itu tampak agresif.

Pengurus Kuching FA, Fazruddin Abdul Rahman, berkata pasukannya tewas seawal separuh masa pertama.

"Jentera serangan tidak berfungsi dengan baik dan bermain dengan amat berhati-hati.

"Ini membolehkan pasukan lawan mengambil peluang menguasai perlawanan, terutama bahagian tengah," katanya.

Kuching FA kemudian memasukkan tiga pemain, termasuk Sufizal Ismail bagi menggantikan Zulmizan Bujang, dan ia mengubah sedikit rentak serangan mereka.

"Namun, segala-galanya agak terlewat," tambahnya.

Fazruddin turut mengakui bahawa pasukan lawan amat bijak menggunakan peluang yang terhidang dan menggunakan kelebihan terhadap keputusan-keputusan pengadil.

Mengenai persiapan menghadapi aksi kedua di Stadium UKM, Bangi, Fazruddin menegaskan pasukannya belum lagi kalah.

"Kami ada lima siri latihan bermula petang ini dan ia harus dimanfaatkan untuk memperbaiki kelemahan yang membuatkan kami longlai dalam aksi malam tadi," katanya.

Dia turut tidak menolak bahawa bekas ketua jurulatih Sarawak, Abdul Jalil Rambli, akan terus bersama-sama pasukan untuk aksi penting 27 September ini.

"Jalil ada menyaksikan perlawanan ini dan saya percaya dia akan bersama-sama kami menghadapi aksi seterusnya," katanya.