Hajat tuan rumah, Kelantan, mahu menghadiahkan kejuaraan Piala Emas Raja-Raja kepada Sultan Muhammad V sempena sambutan Hari Keputeraan Ke-48 baginda tidak kesampaian apabila tumpas 1-2 di tangan Pulau Pinang dalam final di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Biarpun Kelantan turun dengan semangat juang yang tinggi, namun kesebelasan skuad Pulau Mutiara lebih bernasib baik berjaya apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-112, sekaligus menamatkan penantian mereka selama 15 tahun untuk bergelar juara.

Pengurus Kelantan, Nudin Awang, berkata pemainnya telah beraksi dengan penuh kesungguhan untuk memburu kejuaraan kali ke-13 di gelanggang sendiri kerana mahu menghadiahkan kemenangan kepada Sultan Kelantan.

“Inilah bola sepak. Kami akur tewas kepada pasukan yang beraksi lebih baik dan Insya-Allah, kami akan berusaha lebih gigih tahun depan,” katanya.

Dalam aksi sengit malam tadi, Pulau Pinang menguasai separuh masa pertama dan hampir menjaringkan gol pendahuluan melalui rembatan cantik Wan Muhd Khairil Wan Mahadi pada minit ke-38, namun sedikit tersasar.

Pada minit ke-41, sepakan percuma di luar kawasan penalti yang diambil pemain tengah, Muhd Nazrul Najmi Mohd Noor, berjaya ditepis keluar penjaga gawang Kelantan, Muhd Farmie Hussin, untuk kedua-dua pasukan berpuas hati menamatkan aksi separuh masa pertama tanpa jaringan.

Pulau Pinang berjaya mendapatkan gol pendahuluan melalui Muhd Nazrul Najmi yang melepaskan rembatan kencang menewaskan Muhd Farmie pada minit ke-87.

Ketika Pulau Pinang di ambang kejuaraan, Kelantan berjaya mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-90 melalui tandukan Mohd Asraff Alifuddin untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Penyerang gantian, Muhd Shahrulnizam Anuar, menjadi wira Pulau Pinang apabila gerakan solonya berjaya menewaskan dua pertahanan Kelantan sebelum merembat cantik menewaskan Mohd Fahmi pada minit ke-112.