AMERIKA SYARIKAT 13 THAILAND 0

Alex Morgan menegaskan setiap jaringan penting buat Amerika Syarikat (AS) selepas aksi tanpa belas kasihan yang dipaparkan pasukannya ketika menewaskan Thailand 13-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia Wanita di Reims, awal pagi tadi.


Morgan menjaringkan lima gol untuk AS membuka kempen mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2015 itu dengan rekod jaringan terbesar.

AS melakar rekod jurang gol terbesar dalam sejarah Piala Dunia Wanita manakala Morgan turut mencipta nama selaku pemain dengan rekod jaringan tertinggi dalam satu perlawanan.

Bagaimanapun, juara bertahan itu mendapat kritikan kerana tidak henti-henti meraikan jaringan sepanjang perlawanan.

Morgan mempertahankan pendekatan yang diterapkan ketua jurulatihnya, Jill Elis, kerana menganggap ia sebagai salah satu usaha untuk mempertahankan kejuaraan.

"Bagi saya, setiap kali anda menjaringkan gol dalam Piala Dunia, ia merupakan sesuatu yang diimpikan sejak kecil. Memenangi Piala Dunia dan kembali ke sini buat kali ketiga, kami mahukan bintang keempat itu," katanya kepada wartawan.

"Kami sedar kepentingan setiap jaringan.

"Di peringkat kumpulan seperti ini dan apabila tiba waktu untuk meraikan jaringan, ia merupakan prestasi yang amat baik dan saya berasakan ia amat penting bagi kami untuk meraikannya bersama-sama," katanya.

Morgan menjelaskan mengenai perkembangan perlawanan itu dan kemenangan AS berkenaan amat penting untuk Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menambah dana kepada beberapa persatuan agar ia dapat menjadikan Piala Dunia lebih kompetitif.

"Dengan keputusan perlawanan malam ini, kami perlu melihat kepada saingan peringkat kumpulan di mana setiap gol akan dikira dan ia amat penting buat kami untuk terus melakukannya.

"Tetapi untuk kesemua 24 pasukan ini, ia merupakan peluang untuk mereka membuktikan apa yang sudah diusahakan sepanjang hidup mereka dan bukan semua persatuan memperuntukkan jumlah pelaburan yang sama buat skuad wanita kebangsaan mereka dan ia merupakan sesuatu yang malang," tambahnya.

AS akan berehat selama beberapa hari sebelum bertemu Chile dalam aksi Kumpulan F, awal pagi Isnin ini.