Bintang Brazil, Neymar, membayangkan Piala Dunia di Russia tahun depan akan berlangsung penuh kejutan.

The Red Devils (Belgium), yang dikendalikan oleh bekas bos Everton, Roberto Martinez, memenangi sembilan daripada 10 perlawanan kelayakan, apatah lagi bangga dengan reputasi rangkaian jentera serangan berbisa di dunia seperti Kevin De Bruyne, Eden Hazard dan Dries Mertens.

Neymar, yang akan memimpin barisan Brazil untuk mereka memburu gelaran sejak 2002, melabel Belgium sebagai kuda hitam selain memberi perhatian kepada penyerang terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini, Mohamed Salah, untuk membawa Mesir mencipta kejutan.

"Saya fikir pasukan paling terkenal adalah pasukan pilihan, seperti biasa," katanya.

"Antara mereka adalah Brazil, Jerman, Perancis, Sepanyol dan Argentina -- pasukan ini akan menjadi tumpuan dalam mana-mana kejuaraan.

"Dan untuk kejutan pula, saya fikir Belgium mempunyai pasukan yang hebat dan boleh memberi kejutan dalam Piala Dunia kali ini. Salah adalah pemain hebat yang boleh membuat perbezaan dalam Piala Dunia."

Neymar menjadi tunjang utama skuad Samba untuk memenangi Piala Dunia 2014 di tanah air sendiri, namun mereka dimalukan dengan kekalahan 7-1 kepada Jerman di peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, tonggak Paris Saint-Germain (PSG) itu percaya dia merupakan pemain yang lebih berpengalaman dan lebih baik untuk menerajui percubaan memenangi Piala Dunia buat kali keenam.

Tambah Neymar: "Perbezaannya sukar dijelaskan tetapi saya fikir saya lebih berpengalaman, lebih bijak, lebih licik seperti yang kami katakan di Brazil.

"Ini kerana saya telah menimba banyak pengalaman, saya pernah mengambil bahagian dalam Piala Dunia dan saya fikir saya akan lebih bersedia untuk edisi yang akan datang kerana saya tahu apa yang sepatutnya dilakukan dalam Piala Dunia, saya boleh menjadi lebih baik.

"Jadi, Neymar pada 2018 akan lebih baik daripada Neymar pada 2014," ujarnya.