Piala Cabaran Antarabangsa: Selangor tumbangkan Persib

Oleh Staff Writer 18 Januari 2020 2561
Piala Cabaran Antarabangsa: Selangor tumbangkan Persib
SELANGOR 3 PERSIB 0

Selangor mudah mengatasi Persib Bandung 3-0 dalam perlawanan pertama Kejohanan Piala Cabaran Antarabangsa di Stadium Shah Alam sebentar tadi.


Tiga gol yang dihasilkan dalam babak pertama hasil jaringan Taylor Regan, Sandro Da Silva dan Syahmi Safari membolehkan skuad kendalian B. Sathianathan itu mencongak perhitungan dengan Bangkok United di venue sama malam esok.

Selangor menguasai hampir keseluruhan babak pertama dengan arkitek baru, Brendan Gan, kerap mencetuskan ancaman sambil Wan Zack Haikal Wan Noor, yang berehat sepanjang musim lalu kerana kecederaan lutut, menjalankan peranannya di bahagian sayap kanan.

Susulan satu hantaran daripada satu sepakan penjuru yang dikeluarkan pertahanan lawan, Sandro melorongkan bola ke arah Regan untuk pertahanan tengah itu melepaskan sepakan leret yang gagal ditangkap kemas penjaga gol, Dhika Bayangkara.

Empat minit menuju waktu rehat, Sandro mencatatkan namanya selaku penjaring apabila memanfaatkan tolakan Halim Saari untuk melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti ke arah penjuru kanan bawah gawang lawan.
 
Bek kiri skuad kebangsaan, Syahmi, tidak ketinggalan untuk mengukir namanya selaku penjaring ketiga Selangor apabila dengan tenang menyudahkan hantaran ke belakang Ifedayu Olusegun pada penghujung babak berkenaan.

Sathianathan menukar hampir keseluruhan pasukannya dalam babak kedua, dengan antara yang dimasukkan adalah kapten skuad B-19 negara, Mukhairi Ajmal Mahadi, manakala Brendan dikeluarkan.

Kemasukan beramai-ramai pemain muda itu-sedikit sebanyak mengubah rentak permainan untuk tiada sebarang gol terhasil sepanjang babak kedua.

"Walaupun kami menang, saya tidak berpuas hati dengan cara hantaran kami," kata Sathianathan selepas tamat perlawanan.

"Hantaran-hantaran bola lembab sedikit, mungkin disebabkan hujan.

"Kalau kami dapat mempercepatkan permainan, itu lebih elok.

"Seperti yang kita tahu, Persib Bandung baru memulakan latihan.

"Apa yang saya kurang berpuas hati, kami memperoleh banyak peluang dalam babak kedua, jadi kami kena ambil peluang itu," katanya.



Editor: Muzaffar Musa 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen