Pasukan dari Indonesia, SBAI, muncul juara kategori bawah 14 tahun (B-14) Kejohanan Bola Sepak Piala Borneo Malaysia 2017 selepas menewaskan skuad dari Hong Kong, JHKFL, 1-0 dalam aksi final di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Gol tunggal yang menjulang SBAI selaku juara edisi ke-10 itu dijaringkan penyerang utamanya, Kasma Manggala, pada separuh masa kedua bagi menebus kekalahan 0-1 di tangan lawan sama dalam saingan peringkat kumpulan.

Kategori B-14 yang membabitkan lapan pasukan itu berlangsung sejak 1 Oktober lalu.

Sementara itu, pasukan St George dari Australia muncul pemenang tempat ketiga selepas menewaskan PSW Academy dari Thailand manakala Sekolah Sukan Datuk Peter Mojuntin (DPM) dari Malaysia mengalahkan Lalor United SC dari Australia 1-0 dalam penentuan tempat kelima dan keenam.

Dreaming Football United (DFU) Filipina pula menang 4-1 ke tas TABS Kota Kinabalu dalam penentuan tempat ketujuh dan kelapan.

Terdahulu, tiga kategori sebelum ini menyaksikan DFU muncul juara kategori B-11, manakala B-12 dijuarai TABS Kota Kinabalu dan Turf City Singapura muncul juara kategori B-13.

Dua lagi peringkat umur yang dipertandingkan adalah B-15 dan B-16.

Pertandingan kategori B-15 yang juga membabitkan lapan pasukan yang dibahagi kepada dua kumpulan dalam saingan awal, bermula kelmarin.

Pertandingan kategori B-16 pula akan menjadi penutup tirai kejohanan esok dan lusa.