Kedah melaungkan amaran untuk memastikan dua jaringan dalam aksi perlawanan akhir pertama Piala Belia yang berkesudahan SSMP B-17 menumpaskan Kedah, 3-2, bukanlah gambaran awal untuk keputusan sebenar nanti.

Keyakinan Kedah tidak padam, meskipun kemenangan tidak memihak kepada mereka dalam aksi final pertama malam tadi.

Malah, jurulatih Kedah, Mohamad Ramlee, menegaskan kepincangan yang berlaku dalam 20 minit awal di Stadium UiTM akan segera diatasi bagi memastikan kelebihan mereka selaku tuan rumah di Alor Setar pada Isnis nanti mampu membawa gelaran juara tahun ini.

"Saya akan memperbaiki kelemahan kami.

"Terima kasih kepada pasukan SSMP kerana bermain bersih tanpa berlaku kecederaan ke atas pemain Kedah," kata jurulatih Kedah itu.

Tegas Mohamad, walaupun tewas, genggaman dua jaringan yang terhasil memberi gambaran bahawa segalanya mampu berlaku nanti.

Sementara itu, jurulatih SSMP B-17, P. Somasundram, tidak mahu menjadikan kelebihan fizikal pihak lawan sebagai kekangan untuk mereka meneruskan penguasaan dalam baki 90 minit nanti.

Ini peluang terbaik buat sebuah pasukan berusia 17 tahun untuk mencipta sejarah mengatasi skuad lebih senior dalam memburu kejuaraan musim ini.

"Walaupun SSMP dianggotai pemain berusia bawah 17 tahun, tidak banyak bezanya dengan keupayaan kami berbanding pemain Kedah yang berusia 19 tahun, cuma kami kalah dari segi fizikal.

"Pemain saya belum bersedia dengan kebanyakan terjahan keras yang dilakukan lawan. Tetapi, secara keseluruhan, kekuatan kedua-dua pasukan tidak banyak bezanya," ujarnya.