Piala AFF: Vietnam ujian sebenar Harimau Malaya -- Aidil 

Oleh Penulis Jemputan 14 November 2018 2631
Piala AFF: Vietnam ujian sebenar Harimau Malaya -- Aidil 
Pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak, enggan barisan negara dibuai kejayaan menundukkan Laos, sebaliknya menggesa rakan-rakannya agar segera mengembalikan fokus kepada perjuangan di atas padang. 

Skuad negara merakam kemenangan kedua dalam kempen Piala AFF selepas membenam cabaran Laos 3-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Mengutip enam mata dalam Kumpulan A, skuad Harimau Malaya berada di landasan tepat untuk merintis langkah ke peringkat lebih tinggi dalam edisi kali ini.

Begitupun, Aidil selaku tonggak pertahanan mengakui perjalanan pasukannya tetap berliku apabila perlu berdepan pasukan pilihan, Vietnam, di tempat lawan Jumaat ini selain pertemuan dengan Myanmar nanti.

"Kami perlu fokus untuk berdepan Vietnam. 

"Mereka memiliki kepantasan dan kemampuan mereka tidak sama seperti dua lawan kami yang terdahulu, iaitu Kemboja dan Laos. 

"Kami perlu gandakan usaha," katanya. 

Tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu memperagakan aksi ampuh bersama gandingannya, Shahrul Saad, di benteng skuad negara.

Mereka, bagaimanapun, dijangka berdepan ujian sebenar ketika menentang Vietnam yang memiliki jentera serangan yang jauh lebih baik berbanding Laos mahupun Kemboja.

"Daripada segi mutu persembahan sebelum ini, kami kurang bernasib baik ketika berdepan Vietnam. 

"Namun, saya dan rakan-rakan menganggap ia sesuatu yang positif bagi melonjakkan semangat kami mencari kemenangan," tambahnya merujuk kepada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan yang menyaksikan skuad negara tumbang 0-1 dalam kancah yang sama dua tahun lalu. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen