KEMBOJA 0 MALAYSIA 1

Jaringan tunggal Norshahrul Idlan Talaha memastikan kemenangan 1-0 skuad negara ke atas Kemboja dalam aksi pertama Kumpulan A, Piala AFF di Stadium Olimpik Kebangsaan Phnom Penh, sebentar tadi.


Beraksi di hadapan kira-kira 30,000 penyokong tuan rumah, barisan anak buah Tan Cheng Hoe sedikit bergelut untuk mendapatkan rentak permainan di awal perlawanan dengan menyaksikan pasukan bimbingan Felix Agustin Gonzalez Dalmas itu lebih menguasai bola.

Namun, selepas 20 minit perlawanan, barisan serangan negara mula mengasak kubu Kemboja menerusi rembatan Muhammad Safawi Rasid dari dalam kotak penalti yang terkena tiang sebelah kanan gawang pasukan tuan rumah.

Penyerang kebangsaan, Norshahrul, membuka tirai jaringan pada minit ke-30 menerusi tandukan yang menewaskan penjaga gol Kemboja, Um Vichet, hasil gerakan menarik ketua pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak yang bijak melakuan hantaran ke dalam kotak penalti.

Tersentak dengan jaringan itu, pasukan terkenal dengan jolokan Angkor Warriors itu terus melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah kubu negara, namun penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, tenang mengawal gawang untuk skuad negara mendahului 1-0 dalam separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Cheng Hoe melakukan pertukaran dengan mengeluarkan Norshahrul dan Mohamad Zaquan dengan memasukkan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dan Ahmad Hazwan Bakri bagi menambah cengkaman di barisan hadapan.

Beberapa peluang berjaya dicipta jentera serangan negara menerusi Shahrel dan Safawi, namun ketumpulan penyudah menjadi penghalang buat skuad Harimau Malaya menggandakan jaringan sementara Kemboja pula terus buntu mencari gol penyamaan sehingga ke wisel penamat.

Kemenangan itu menyaksikan skuad negara mengutip tiga mata penuh dan misi mencari tiga mata berikutnya akan diteruskan pada 12 November ini apabila skuad negara bakal melayan kunjungan Myanmar dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Untuk rekod, Malaysia hanya muncul juara kejohanan itu pada 2010 di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal selepas skuad negara menewaskan tuan rumah bersama, Indonesia, 4-2 secara agregat dalam dua aksi final.

"Ternyata aksi pertama dalam setiap kejohanan adalah sukar. Ditambah dengan bermain di atas permukaan padang tiruan. Tetapi pasukan telah mempamerkan komitmen yang terbaik dan meraih kemenangan dalam perlawanan ini," kata Cheng Hoe.

"Kemboja menghadapi kesukaran untuk mengawal permainan ini. Ketika kami sedang berusaha dalam babak pertama, Malaysia menemui jalan untuk menjaringkan gol," kata Felix Gonzalez Dalmas.

-- BERNAMA