Pertahanan negara, Syahmi Safari, bertekad untuk sekali lagi mengerah kudratnya dalam misi skuad Harimau Malaya meraih bekalan selesa ketika berdepan Thailand dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2018, Sabtu ini.

Syahmi dianggap sebagai wira tidak didendang dalam kem negara ketika ini.

Dia kurang mendapat tumpuan walaupun menjadi antara watak penting kemaraan skuad negara ke peringkat separuh akhir.

Mempamerkan aksi mantap dengan mengekang asakan lawan serta membantu jentera serangan memburu jaringan, kelibat Syahmi jelas ditagih ketika bertemu Thailand.

"Kami perlu menggandakan lagi usaha dalam pertemuan dengan Thailand berbanding ketika menghadapi Myanmar sebelum ini.

"Walaupun mereka sebuah pasukan yang mantap, kami tidak boleh terlalu menghormati lawan," ujarnya.

Dijangka bergandingan dengan Mohamadou Sumareh di sebelah kanan, pertahanan Selangor itu mempunyai misi serampang dua mata untuk menentang skuad negara Gajah Putih itu.

"Sepanjang mewakili skuad B-19 dan B-23 negara, saya tidak pernah menewaskan Thailand.

"Jadi, ini satu peluang untuk kami berbuat sesuatu bagi menundukkan Thailand," katanya lagi.

Sementara itu, baki 40,000 tiket mula dijual di perkarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil, bermula jam 10 pagi tadi.

Suasananya cukup meriah dengan kehadiran penyokong Harimau Malaya yang sudah beratur panjang sejak awal lagi.

"Penjualan tiket amat bagus sekali.

"Peminat boleh memilih untuk membeli secara atas talian, jadi penyokong tidak perlu berasak-asak untuk mendapatkan tiket dan pembelian menjadi lebih mudah," kata seorang peminat.