Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, tidak memandang remeh cabaran juara pusingan kelayakan Piala AFF Suzuki 2016, Kemboja, yang dilihat mampu muncul selaku pesaing hebat dalam kumpulan B.

Kemampuan Kemboja memenangi semua perlawanan ketika bertemu Timor Leste, Brunei dan Laos menjadi amaran bahawa tiada laluan mudah buat pasukan negara di Yangon, nanti.

Tambahan, Kemboja bakal menjadi lawan sulung ditemui anak buah Kim Swee, dengan tiga mata dilihat mustahak bagi mencerahkan laluan ke separuh akhir kejohanan itu.

"Apabila melalui peringkat kelayakan dengan tiga kemenangan, sudah tentu memberikan mereka (Kemboja) satu keyakinan yang cukup tinggi.

"Jadi, saya menjangkakan kami harus berada di tahap terbaik sebelum bertemu Kemboja dalam perlawanan pertama, di mana pentingnya untuk kami mendapatkan kemenangan," kata Kim Swee.

Skuad negara sedang berkampung di Port Dickson selama tiga hari bermula hari ini, untuk menjalani wwwwwwwwwwwwwwwwkem bina semangat.

Menurut Kim Swee, kem berkenaan bertujuan memastikan muka lama serta baharu mampu membentuk semangat berpasukan yang lebih mantap di dalam dan luar padang.

"Tujuan utama adalah untuk membentuk kerjasama berpasukan, di mana semua aktiviti yang dijalankan di sini, mereka memerlukan kerja berpasukan dan membantu antara satu sama lain. Perkara itu penting sebelum kami bermula di atas padang."

Malaysia akan berdepan Papua New Guinea dalam aksi persahabatan terakhir di Stadium Shah Alam pada 14 November, jam 3 petang. Ia akan disiarkan secara langsung di Astro Arena 801 dan 802 HD.

Skuad negara akan membuka kempen Piala AFF Suzuki berdepan Kemboja pada 20 November.

Piala AFF Suzuki berlangsung dari 19 November hingga 17 Disember di Myanmar dan Filipina.