Pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe, mengakui skuad negara kali ini cukup bersedia memberi cabaran kuat dalam saingan Piala AFF 2018 apabila berdepan Kemboja dalam aksi pertama Kumpulan A, malam esok.

Berbeza dengan aksi persahabatan dengan Kemboja, September lalu, skuad kali ini jelas dibarisi pemain-pemain terbaik negara.

Bagi Cheng Hoe, apa yang penting adalah pemain tidak memandang mudah lawan dan tidak terkesan dengan harapan tinggi peminat di tanah air.

"(Mohamadou) Sumareh telah beraksi dalam tiga perlawanan sebelum ini dan secara tidak langsung telah meningkatkan kualiti skuad negara. Saya berharap Malaysia dapat beraksi tanpa sebarang tekanan bagi memastikan persembahan terbaik," kata Cheng Hoe.

Sementara itu, pengendali Kemboja, Felix Gonzalez Dalmas, menyifatkan ketiadaan pengurus pasukan, Keisuke Honda, untuk aksi dengan Malaysia tidak menjejaskan pasukan.

Ia kerana mereka sudah menjalani persiapan lebih rapi kali ini.

Honda tidak dapat bersama skuad Kemboja kerana masih terbabit dengan saingan dalam Liga Australia.

"Honda seorang yang sangat penting untuk pasukan. Walaupun tidak bersama Kemboja, beliau masih lagi berhubung dan mengetahui perkembangan pasukan," kata Gonzalez.