Piala AFF: Saya seperti mati hidup semula, kata Farizal

Oleh Penulis Jemputan 6 Disember 2018 16713
Piala AFF: Saya seperti mati hidup semula, kata Farizal
"Seperti mati hidup semula."

Itu luahan penjaga gol Harimau Malaya, Farizal Marlias, yang mengakui tuah memihak pasukan negara sebaik menyedari bola sepakan penalti penyerang Thailand, Adisak Kraisorn, pada saat-saat akhir perlawanan, melambung tinggi dalam aksi separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF, malam tadi.


Farizal sebenarnya sudah melakukan kerja rumah mengenai gaya tendangan penyerang Thailand itu dan telah menjangkakan Adisak akan melakukan sepakan ke sebelah kiri gawang.

Namun, tindakan awalnya merebahkan badan membuatkan Adisak mengubah haluan tendangannya dan keputusan itu memakan diri buat pasukan Thailand.

Jelas Farizal, dia seperti tidak percaya dengan apa yang terjadi, namun mengucapkan syukur di atas rezeki yang memihak skuad negara.

"Saya membuat kajian video sebelum perlawanan dan mendapati Adisak kerap melakukan sepakan ke sebelah kiri gawang.

"Berdasarkan pengalaman, saya yakin dia berada dalam tekanan yang tinggi ketika mengambil sepakan itu.

"Jangkaan itu benar dan Alhamdulillah kami ke final," katanya.

Farizal mahu berdepan Vietnam dalam aksi final bagi melunaskan dendam kekalahan 0-2 dalam aksi peringkat kumpulan, sebelum ini.

Baginya, tahap keyakinan pasukan negara kini cukup tinggi dan mereka tidak gentar terhadap kekuatan yang dimiliki lawan.

"Kami mengharapkan untuk kembali bertemu Vietnam supaya dapat menebus kembali kekalahan di peringkat kumpulan.

"Kami sedia membalas dendam," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen