Piala AFF: Kenangan 2009 jadi azimat Zaquan

Oleh Staff Writer 10 Disember 2018 1187
Piala AFF: Kenangan 2009 jadi azimat Zaquan
Imbauan sejarah Sukan SEA 2009 di Laos menjadi azimat buat ketua pasukan Harimau Malaya, Zaquan Adha Abdul Radzak, yang sedia mengecewakan Vietnam sekali lagi di pentas akhir apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam final peringkat pertama Piala Suzuki AFF 2018 esok.

Zaquan, yang berada dalam skuad selepas berjaya menamatkan penantian emas buat Malaysia sejak 1989, masih mengingati apa yang terjadi di Vientiane ketika itu.

Dalam peringkat kumpulan, Malaysia tewas 1-3, namun melakar kejutan menang 1-0 ke atas Vietnam yang diletak sebagai pilihan meraih emas.

Dia melihat situasi hampir serupa kali ini kerana banyak pihak melabel Vietnam selaku pilihan tetapi Zaquan tahu apa yang mereka mampu lakukan dalam perlawanan akhir.

"Aksi final sangat berbeza. Suasananya sangat lain jika dibandingkan dengan aksi peringkat kumpulan.

"Saya pernah lalui pengalaman ini ketika Sukan SEA 2009. Apa yang berlaku dalam peringkat kumpulan, kami akan perbaiki dan untuk final, ia perlawanan berbeza buat saya dan rakan sepasukan," kata Zaquan.

Sementara itu, pemain tengah Vietnam, Nguyen Ttrong Hoang, memberitahu dia tidak mahu pengalaman tewas 0-2 ketika separuh akhir pertama edisi 2010 berulang.

Dia tidak menafikan beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil bukanlah satu perkara yang diinginkan kerana sedar akan kekuatan penyokong yang sentiasa berdiri di belakang Harimau Malaya.

“Saya pernah beraksi di sini pada 2010 dan bukan mudah buat mana-mana pasukan beraksi dengan baik. Tekanan besar pasti akan hadir daripada penyokong mereka yang akan cuba mengganggu fokus kami dalam memberikan aksi terbaik di atas padang,” ujar Trong Hoang.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen