VIETNAM 1 MALAYSIA 0
(Vietnam menang agregat 3-2)

Harapan Malaysia untuk menamatkan kemarau lapan tahun menjulang Piala Suzuki AFF tidak kesampaian setelah kalah tipis 0-1 kepada Vietnam dalam aksi final kedua di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, malam ini.


Keputusan itu menyaksikan Vietnam muncul juara buat kali kedua selepas 2008 menerusi keputusan agregat 3-2 dan ia sekali gus meranapkan impian Malaysia meraih kejuaraan kedua selepas edisi 2010.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan berkenaan seri 2-2 dalam aksi final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa lalu.

Dalam aksi malam ini, skuad Harimau Malaya jelas memberikan saingan sengit kepada skuad Naga Emas itu yang mendapat sokongan padu lebih 40,000 penyokong setia mereka.

Nasib bagaimanapun lebih menyebelahi Vietnam yang membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi rembatan Nguyen Anh Duc di dalam kotak penalti yang gagal ditepis oleh penjaga gol skuad negara, Farizal Marlias.

Selang empat minit kemudian, Malaysia berpeluang menyamakan kedudukan, namun sepakan 'back heel’ Mohamadou Sumareh hanya sedikit tersasar daripada tiang gol Vietnam.

Muhammad Syahmi Safari hampir menyamakan kedudukan untuk skuad Harimau Malaya, namun percubaannya di dalam kotak penalti berjaya ditepis penjaga gol Vietnam, Dang Van Lam, dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama.

Sebaik sahaja perlawanan bersambung, Malaysia melancarkan serangan bertali arus dan Safawi Rasid hampir menyamakan kedudukan untuk Malaysia pada minit ke-53, namun sepakan percumanya ditepis Van Lam.

Terdesak mencari gol penyamaan, pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, membuat tiga pertukaran pada pertengahan babak kedua untuk memantapkan jentera serangan, namun ketangkasan Van Lam dan keampuhan benteng pertahanan Vietnam menyaksikan keputusan perlawanan tersebut kekal sehingga tiupan wisel oleh pengadil dari Iran, Alireza Faghani.

Terdahulu, pemain negara, Shahrul Mohd Saad dilayangkan kad merah oleh Faghani setelah mengutip kad kedua pada masa kecederaan.

-- BERNAMA