Penjaga gol negara, Farizal Marlias, sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk diturunkan dalam aksi penting Malaysia menentang Myanmar dalam aksi terakhir Kumpulan A, Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Farizal berdepan persaingan sengit dalam merebut tempat posisi penjaga gol kali ini.

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu diketepikan sebelum ini dan hanya memanaskan bangku pemain simpanan dalam tiga perlawanan terdahulu.

Namun, khidmatnya kini kembali ditagih pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe, susulan kegagalan Khairul Fahmi Che Mat yang dibolosi dua kali ketika berdepan Vietnam, minggu lalu.

"Setiap pemain perlu bersedia untuk diturunkan.

"Apabila diberikan peluang untuk beraksi, kami perlu melakukan yang terbaik.

"Saya sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk berdepan Myanmar walaupun sedar kesukaran yang bakal dihadapi apabila berdepan mereka nanti," katanya.

Sementara itu, pemain tengah Myanmar, Ye Yint Aung, mengakui kejayaan dua tahun lalu memberikan motivasi terbaik buat pasukannya untuk berdepan Harimau Malaya.

Edisi 2016 menyaksikan skuad The White Angels itu menyingkirkan Malaysia daripada kejohanan menerusi kemenangan 1-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.

"Kejayaan kami mengalahkan Malaysia dua tahun lalu cukup istimewa kerana ia memastikan kelayakan kami ke separuh akhir.

"Ia sememangnya memberi suntikan semangat kepada kami untuk berdepan mereka esok," katanya.