Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, berpuas hati apabila sasaran meraih enam mata daripada dua perlawanan pertama berjaya dicapai dalam saingan Piala AFF kali ini selepas menewaskan Laos 3-1, malam tadi.

Namun, jurulatih Harimau Malaya itu sedar barisan pemainnya perlu menyerlahkan aksi lebih ampuh apabila berdepan Vietnam, Jumaat ini.

Aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi menyaksikan Laos terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma gemilang Pitchak Kongmathilat pada minit ketujuh.

Jaringan penyamaan daripada Zaquan Adha Abdul Radzak pada minit ke-14 serta dua jaringan Norshahrul Idlan Talaha di penghujung babak kedua mengesahkan kemenangan skuad negara.

"Kami berjaya mengumpulkan enam mata seperti yang disasarkan sebelum ini.

"Kami bolos awal dan gagal beraksi baik dalam separuh masa pertama.

"Pertukaran tiga pemain dalam babak kedua membantu kami mengubah permainan.

"Secara keseluruhan, barisan pemain telah beraksi dengan sepenuh hati," kata Cheng Hoe.

Bagi penolong jurulatih Laos, Firdaus Kasim, pemainnya sudah memberikan usaha terbaik, namun kelebihan pengalaman membantu kemenangan Malaysia.

"Kami cuba membentuk barisan pertahanan yang mantap, namun beraksi di sini jelas memberikan kelebihan buat Malaysia.

"Apapun, saya tetap gembira dengan persembahan yang dipamerkan pasukan," katanya.