Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, mengidamkan sejarah final 2010 berulang di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok dengan cuba meraih bekalan selesa sebelum bertandang ke Hanoi, Sabtu ini.

Skuad Harimau Malaya bakal melayan kunjungan Vietnam esok bagi aksi pertama final Piala Suzuki AFF 2018 sebelum melalui aksi kedua di Hanoi empat hari kemudian.

Sedar akan cabaran yang menunggu di tempat lawan, Cheng Hoe bertekad mahu memastikan anak buahnya mendapatkan bekalan selesa di Bukit Jalil berbekalkan sokongan padu di laman sendiri.

"Pemain akan meraih lebih bermotivasi apabila bermain di depan penyokong sendiri. Bukit Jalil memberi kami aura dan semangat yang berbeza, jadi kami harus menggunakan kesempatan itu.

"Apapun, jaringan gol akan berikan kami kemenangan," kata Cheng Hoe.

Dalam masa sama, kapten negara, Zaquan Adha Abdul Radzak, melihat aksi malam esok sebagai satu perlawanan yang cukup berbeza berbanding perlawanan sebelum ini.

Walaupun Vietnam dilihat cukup ampuh, terutama di bahagian benteng, Zaquan tidak mahu perkara itu menjadi alasan untuk dia gagal menghasilkan sebarang gol.

"Final adalah satu perlawanan yang ditunggu oleh pemain, tidak kira pemain senior atau muda. Daripada segi berpasukan, keharmonian dan keserasian sangat baik. Diharapkan ia diteruskan sehingga memberi kejayaan kepada Malaysia," ujar Zaquan.