Syarikat pengeluar pakaian sukan dari Thailand, Warrix, telah dilantik sebagai pembekal barangan rasmi untuk kejohanan bola sepak, Piala AFF 2020, yang dijadualkan berlangsung di antara November dan Disember tahun ini.

Ia berikutan perjanjian kerjasama yang ditandatangani antara syarikat itu dan Sportfive, agensi sukan antarabangsa dan pemegang hak eksklusif bagi kejohanan Piala AFF.

Melalui perjanjian itu, Warrix juga akan membekalkan peralatan untuk budak pengutip bola dan pengadil sepanjang kejohanan berlangsung serta menghasilkan pakaian, bib dan gelang lengan untuk ketua pasukan dalam kejohanan berkenaan.

"Kami yakin dengan pakaian dan kelengkapan sukan Warrix yang berkualiti tinggi itu akan meningkatkan semangat kejohanan itu dalam kalangan pemain, sukarelawan, pegawai dan peminat serta meningkatkan kejohanan ke suatu tahap yang baru," kata Pengarah Urusan Sportfive (rantau Asia Tenggara), Malcolm Thorpe, dipetik dalam kenyataan media AFF hari ini.


⚡️ WARRIX PARTNERS AFF SUZUKI CUP 2020 ⚡️ วอริกซ์ หนึ่งในแบรนด์เสื้อผ้ากีฬาชั้นนำของเอเชีย...

Posted by Warrix on Wednesday, July 1, 2020


Sementara itu, Pengarah Urusan Warrix Sport Co. Ltd, Wisan Wanasaksrisakul, juga menyambut baik kerjasama itu sambil menambah syarikat itu komited untuk memperluaskan kewujudan jenama mereka dalam pasaran rantau ini.

"Kami terus berinovasi dalam produk kami dengan menggunakan teknologi terbaru kerana kami percaya dalam menyediakan pakaian sukan dan peralatan yang berkualiti untuk meningkatkan prestasi atlet dalam semua jenis sukan," tambahnya.

-- BERNAMA



TAG: bola sepak, Piala Suzuki AFF, Warrix, Sportfive