Komuniti bola sepak negara membuktikan mereka juga mempunyai peranan besar di luar padang apabila berganding bahu membantu bekas pertahanan negara, Salahuddin Che Rose, menjalani rawatan jantung.

Kisah Salahuddin mendapat perhatian pelbagai pihak selepas tular di banyak platform media.

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) tidak terkecuali untuk berusaha memastikan Salahuddin memperoleh bantuan setimpal dengan pengorbanannya buat skuad negara.

Inisiatif itu bermula dengan perlawanan bola sepak amal anjuran PFAM membabitkan pemain profesional negara seperti Safiq Rahim, Razman Roslan dan Shahrom Kalam, semalam.

"Saya berharap inisiatif ini dapat sedikit-sebanyak membantu Salahuddin untuk meneruskan rutin rawatan yang perlu dijalaninya," kata Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya.

Salahuddin yang tidak bekerja menghadapi kesukaran untuk mendapatkan dana bagi perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan dan penginapan.

"Saya memohon kepada semua pihak agar dapat memberikan perhatian lebih serius kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh bekas-bekas pemain kebangsaan," katanya.

PFAM pada masa sama menyeru agar pemain yang menghadapi kesukaran dalam hidup tampil berbicara dengan persatuan itu.