Covid-19 telah memberikan impak di seluruh dunia termasuk kancah sukan tempatan dan antarabangsa, terbaru ia membabitkan sukan bola sepak negara apabila pemain-pemain Kuching FA kini tidak dibenarkan menjalani sesi latihan setelah seorang pemain disahkan positif.

"Sekarang semua pemain dikuarantin selepas salah seorang pemain penyerang Kuching telah disahkan positif Covid-19," kata pemain Kuching FA, Joseph Kalang Tie.

Itu luahan Joseph mengenai kejadian tidak dijangka yang melanda Kuching FA beberapa hari lalu.

Kini, pasukan tersebut hanya mampu menunggu dalam kuarantin dengan harapan tiada pemain yang lain terkena jangkitan Covid-19.

Joseph juga tidak menafikan kejadian tersebut telah mengganggu momentum pasukan dalam persediaan saingan liga September ini apabila setiap pemain telah kembali ke puncak tahap fizikal mereka.

"Tiada apa yang boleh dibuat ketika ini selepas setiap pemain telah kembali ke tahap fizikal terbaik namun kami tidak akan menyalahkan mana-mana pihak atas perkara yang telah berlaku."

"Pihak persatuan akan menunggu untuk saringan kedua kemudian mendapatkan keputusan untuk berbincang dengan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan perancangan untuk menyertai saingan Liga Malaysia yang bakal bermula tidak lama lagi," kata Presiden Kuching FA, Fazzrudin Abdul Rahman.

"Kami sangat simpati terhadap pemain yang telah positif Covid-19. Kami mengucapkan tahniah kepada pasukan telah mengambil langkah yang pantas bagi memastikan kuarantin pemain dilakukan bagi mengelak daripada penularan wabak tersebut. Mereka akan menjalankan proses 14 hari kuarantin seperti yang telah ditetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan," kata Presiden MFL, Datuk Abd Ghani Hassan.