LILLE 1 VALENCIA 1

Albert Celades menyifatkan persembahan Valencia ketika berdepan Lille sebagai aksi terburuk mereka musim ini selepas sekadar seri dengan tuan rumah dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi.


Selepas Denis Cheryshev membuka jaringan dan kelihatan di landasan terbaik untuk meraih tiga mata di Stade Pierre-Mauroy, Mouctar Diakhaby dilayangkan kad merah kerana mengumpul dua kad kuning, memaksa pelawat meneruskan permainan dengan 10 pemain.

Ketiadaan Diakhaby melonjakkan Lille untuk mencari jalan untuk meraih mata dan usaha mereka berhasil apabila Jonathan Ikone yang hadir sebagai pemain gantian meledak gol cantik dalam masa kecederaan.

Pengendali Valencia, Celades, menyelar persembahan pasukannya kerana gagal menggunakan peluang untuk berkongsi mata dengan pendahulu Kumpulan H, Chelsea dan Ajax, dengan berkata, "Saya berasakan ini persembahan terburuk kami setakat ini.

"Anda dapat berasakan sesuatu yang kurang dalam persembahan pasukan dan Lille bermain dengan lebih baik daripada setiap sudut. Lille memiliki banyak peluang dan hampir memenangi perlawanan ini.

"Sukar untuk keluar daripada kumpulan ini tetapi setiap perlawanan adalah penting.

"Mereka menghadirkan masalah kepada kami, terutama dalam separuh masa pertama. Lille mengawal rapi setiap pergerakan pemain-pemain.

"Kami menyedari kami gagal beraksi cemerlang dan Lille adalah pasukan yang tidak boleh diambil mudah. Saya menghormati mereka tetapi Valencia mampu bermain dengan lebih cemerlang," katanya.

Pengurus Lille, Christophe Galtier, mengakui harapan pasukannya untuk melangkah ke peringkat seterusnya sangat tipis selepas meraih mata perltama daripada kempen kali ini.

Bakal berdepan Valencia sekali lagi dalam pertemuan wajib menang 5 November ini, Galtier berkata, "Apabila anda berada dalam satu pertandingan, anda harus memasang impian untuk melangkah sejauh yang mungkin dan pemaintelah memberi yang terbaik untuk menang. Saya sangat kecewa untuk mereka."