Polemik untuk mendapatkan pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) wajar dilihat sebagai persaingan sihat dalam kalangan pasukan untuk mendapatkan pemain terbaik meskipun wujud kebimbangan terhadap perkembangan karier barisan pemain muda itu.

Secara amnya, mana-mana pasukan yang melakukan tawaran terbaik serta menjanjikan masa depan yang lebih cerah pastinya mampu memikat bukan sahaja hati pemain, malah memberi keyakinan kepada ibu-bapa untuk melepaskan anak mereka.

Selangor antara pasukan yang dilihat mampu memenuhi kehendak barisan muda AMD itu sehingga menyaksikan mereka memborong seramai 28 pemain.

Syaratnya, sesebuah pasukan itu perlu mempunyai status kewangan yang kukuh seandainya berhasrat untuk menyunting mana-mana pemain daripada akademi itu.

"Saya tidak fikir ia menjadi satu masalah buat Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menuntut pampasan memandangkan ia sudah termaktub dalam peraturan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Ia berbalik kepada kualiti pemain-pemain untuk dinilai.

"Nilai (duit) itu bukanlah segala-galanya dan ia sebenarnya terletak kepada kualiti pemain," kata pemerhati bola sepak, Hasnizam Uzir.

Bagi pasukan atau kelab yang tidak mampu untuk memancing barisan bintang muda itu, mereka seharusnya mengambil langkah proaktif untuk membentuk akademi sendiri.

"Itulah yang sepatutnya dilakukan setiap persatuan ataupun kelab di Malaysia untuk mengadakan akademi sendiri.

"Tetapi mereka masih menangguk di air keruh, masih mengharapkan bantuan kerajaan untuk menyalurkan dana dan tidak dapat menjananya sendiri.

"Itulah inisiatif yang dilakukan MSN dan kerajaan," katanya hari ini.

Bagaimanapun, selepas dilanda kontroversi tersebut, pemain serta jurulatih skuad Gergasi Merah mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung perkara berkenaan.

Hasrat krew Nadi Arena untuk mendapatkan komen tidak kesampaian apabila mereka diarahkan untuk tidak memberi sebarang kenyataan yang membabitkan apa jua, termasuk persiapan menjelang musim baru liga.

Difahamkan, pemain sensasi muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, sepatutnya menyertai sesi latihan bersama barisan pemain Selangor II di Padang PKNS hari ini, namun susulan kontroversi yang melanda pasukan itu, kelibatnya tidak kelihatan.

Sementara itu, jurulatih skuad sokongan itu, Micheal Feictenbeiner, pula diberi cuti menyambut Hari Natal sehingga awal bulan depan.