Penggempur Juventus, Cristiano Ronaldo, percaya persaingan sihat di antara dirinya dan Lionel Messi ketika tempohnya dalam LaLiga membuatkan dia menjadi seorang pemain yang lebih baik.

Kedua-dua individu itu telah memenangi anugerah Ballon d'Or lima kali dan dilihat sebagai dua pemain terbaik sepanjang zaman.

Ronaldo menamatkan tempoh sembilan tahun bersama Real Madrid sebelum berhijrah ke Juventus tahun lalu dan baru-baru ini, Messi mendedahkan mereka bersaing sesama sendiri dalam usaha meraih anugerah individu.

Bekas bintang Manchester United itu turut bersetuju dengan pandangan itu, dengan memberitahu France Football: "Ramai orang berkata kami membantu antara satu sama lain dan ia menjadikan kami lebih bagus di Sepanyol.

"Memang benar. Saya lebih rasakan kehadirannya di Madrid berbanding di Manchester. Ia satu persaingan sihat. Kami adalah simbol kelab masing-masing.

"Sentiasa bagus apabila diperkatakan tentang sesuatu yang baik, terutama apabila mereka mengatakan saya pemain hebat.

"Hari ini, saya mendengar semua perkara yang mereka katakan tentang saya tetapi apabila ia sudah tamat di penghujung karier nanti, saya tidak kisah kerana saya akan berpisah dengan segalanya."

Ronaldo dikenali dengan dedikasi tinggi ketika latihan serta kerja keras di luar padang yang membantunya menjadi salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman.

"Pertama, anda perlukan bakat atau anda akan sukar meraihnya," katanya.

"Namun, bakat itu tidak berguna jika tiada kerja keras.

"Saya tidak akan sampai di mana saya berada hari ini jika tiada kerja keras."

Baru-baru ini, Ronaldo menjaringkan gol ke-700 dalam karier ketika Portugal tewas 2-1 di tangan Ukraine dan 450 daripadanya dicipta sewaktu beraksi di Santiago Bernabeu.

Ditanya mengenai jaringan kegemarannya, pemain berusia 34 tahun itu memilih sepakan gunting ketika suku akhir Liga Juara-Juara Eropah berdepan majikannya ketika ini, Juventus, pada musim 2017-18.

"Meraih 700 gol membuatkan saya bangga dan ia satu pencapaian hebat yang diraih pemain," katanya.

"Jika perlu memilih satu, saya boleh katakan jaringan ketika berdepan Juve kerana ia adalah gol yang ingin saya lakukan selama bertahun-tahun."