Didier Deschamps mengakui undian kumpulan Piala Dunia 2018 mungkin memberi sedikit kelebihan kepada Perancis, namun menganggap Argentina sebagai ancaman jika mereka mara ke peringkat kalah mati.

Les Bleus, pemenang pada 1998 dan antara pasukan pilihan untuk meraih kejayaan di Russia, bakal menghadapi Australia, Peru dan Denmark dalam Kumpulan C.

Perancis, yang pernah berhitung dengan Denmark dalam Piala Dunia edisi 1998 dan 2002, berdepan kemungkinan menempah pertemuan dengan Argentina -- yang layak menerusi inspirasi Lionel Messi ketika menentang Ecuador dalam perlawanan terakhir kempen -- bergantung kepada nasib mereka dalam Kumpulan D.

Begitupun, Deschamps tidak terlalu memikirkan faktor-faktor yang berada di luar kawalannya.

"Ia mungkin menjadi lebih teruk lagi, kami mempunyai sejarah ketika bermain menentang Denmark dan kami juga pernah menguji Australia," kata jurulatih Perancis itu kepada RMC.

"Perkara yang paling penting ketika ini adalah untuk memantau lawan kami dalam perlawanan persahabatan seterusnya pada Mac nanti.

"Kami perlu mempamerkan peningkatan. Saya tahu kumpulan mana yang boleh mencetus kebimbangan kepada kami, iaitu kumpulan yang mengandungi Argentina.

"Tetapi, anda tidak boleh berterusan mengelakkannya.

"Kami tahu profil pihak lawan kami. Untuk itu, kami akan mengatur aksi persahabatan kami dengan pasukan yang mempunyai profil serupa," ujarnya.

Robert Pires -- pemenang Piala Dunia dan Eropah bersamaPerancis -- percaya anak buah Deschamps harus gembira dengan hasil undian itu.

"Ini cabutan undian yang sangat baik, walaupun anda sentiasa menghormati pasukan dan pemain lawan," katanya kepada beIN SPORTS.

"Namun, kami tahu kualiti yang dimiliki dan kami mempunyai pengalaman, boleh dikatakan ia berjalan dengan baik setakat ini."