Marcus Thuram melakukan permohonan maaf selepas dilayangkan kad merah gara-gara secara tidak sengaja meludah muka Stefan Posch dalam perlawanan Bundesliga yang menyaksikan Borussia Monchengladbach tewas 1-2 kepada Hoffenheim malam tadi.

Penyerang itu diarahkan keluar padang oleh pengadil, Frank Willenborg, pada 11 minit terakhir di Borussia-Park susulan insiden tanpa bola yang dikesan video bantuan pengadil (VAR).

Pemain kebangsaan Perancis itu meludah muka Posch ketika kedua-dua permain itu berdepan sewaktu kedudukan terikat 1-1 dan Ryan Sessegnon kemudian memburukkan keadaan Gladbach menerusi gol kemenangannya pada lewat permainan.

Thuram menyatakan penyesalan atas tingkah laku buruknya itu dan bersedia untuk menerima apa sahaja bentuk hukuman tetapi mendakwa dia meludah Posch secara tidak sengaja.

Dia melakukan kiriman Twitter dan Instagram dengan berkata: "Hari ini, sesuatu telah berlaku di luar perwatakan saya dan tidak akan pernah berlaku.

"Saya memberikan reaksi kepada pemain lawan dengan cara yang salah dan ia berlaku tanpa disengajakan dan tiada niat.

"Saya memohon maaf kepada semua orang, kepada Stefan Posch, kepada pasukan lawan, kepada rakan sepasukan saya, kepada keluarga dan kepada semua yang melihat tingkah laku saya.

"Sudah pasti saya akan menerima setiap akibat daripada perbuatan itu," katanya.