Penswastaan kelab: Felda United buat rayuan selepas tersingkir

Oleh Muzaffar Musa 1 November 2020 522
Penswastaan kelab: Felda United buat rayuan selepas tersingkir
Felda United mengemukakan rayuan selepas gagal dalam penswastaan kelab bagi musim 2021, demikian disahkan Pengarah Urusan The Fighters Sdn Bhd, Afizal Abu Othman.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam mengesahkan bahawa pasukan itu telah gagal dalam  penswastaan kelab bola sepak bersyarikat berikutan kedudukan kewangan pelabur baru yang tidak kukuh.

Ia menyaksikan pasukan itu tidak layak menyertai dua kejohanan utama anjuran Liga Bolasepak Malaysia (MFL), iaitu Liga Super dan Liga Perdana, musim depan.

Bagaimanapun, Felda United mengemukakan rayuan kepada badan induk itu untuk diberikan tempoh 14 hari bekerja bagi menyerahkan dokumen berkaitan kewangan, pelabur dan penajaan.

"Kami terus mengeluarkan satu surat rayuan untuk dihantar kepada FAM," katanya kepada Astro Arena.

"Ia bagi memohon tempoh selama 14 hari bekerja untuk kami mengemukakan dokumen yang berkaitan kewangan, pelabur dan penajaan yang akan membantu kami untuk beraksi dalam Liga Malaysia musim depan."
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen