Penjara FC juara Liga Bola Sepak Terbuka Sabah 2018

Oleh Willie Jude 13 November 2018 514
Penjara FC juara Liga Bola Sepak Terbuka Sabah 2018
Penjara FC muncul juara kejohanan Liga Bola Sepak Terbuka Sabah 2018 selepas menewaskan KDM Labuan dalam aksi final di Stadium Penampang, baru-baru ini.

Bekas penyerang Sabah, Jufrey Omopor, menjaringkan gol kemenangan Penjara FC pada minit ke-108 dalam masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam masa sebenar perlawanan.

Perlawanan akhir itu berlangsung Sabtu lalu, namun terpaksa dihentikan selepas perlawanan masa sebenar tamat ekoran keadaan hari yang semakin gelap.

Perlawanan kemudian terpaksa disambung pada keesokan harinya yang menyaksikan Penjara FC dinobat juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 bersama piala dan pingat manakala KDM Labuan selaku naib juara memenangi wang tunai RM8,000 bersama piala dan pingat. 

Dalam perkembangan lain, DBKK FC muncul pemenang tempat ketiga selepas lawan mereka Quilmes FC menarik diri daripada kejohanan untuk membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.

Untuk rekod, sebanyak 33 pasukan menyertai kejohanan yang bermula sejak Julai lalu.

Kejohanan itu adalah anjuran bersama Marven Sports, Andrew Lian Awa serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen