Julian Nagelsmann mengakui Paris Saint-Germain (PSG) sememangnya berhak ke ke perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) sambil menyoroti kesilapan utama RB Leipzig dalam kekalahan 0-3 awal pagi tadi.

Kejutan pasukan Bundesliga itu berakhir dalam separuh akhir selepas jaringan daripada Marquinhos, Angel Di Maria dan Juan Bernat memastikan kejayaan pasukan bimbingan Thomas Tuchel tersebut.

Marquinhos menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-13 menerusi sepakan percuma Di Maria tetapi dua gol seterusnya berpunca daripada benteng goyah lawan termasuk tindakan penjaga gol, Peter Gulacsi, yang tersilap langkah.

"Kesudahannya saya berasakan PSG sememangnya berhak meraih tiket ke final," katanya kepada BT Sport.

"Dalam tempoh 10 atau 12 minit pertama, kami beraksi dengan baik. Kami memberikan saingan dalam pembukaan permainan, melancarkan serangan balas yang baik dan kami agak sibuk di kubu lawan.

"Kemudian kami melepaskan sepakan percuma yang menghasilkan gol pertama tersebut. Selepas itu kami memerlukan lima minit untuk kembali mengatur rentak. Situasi masih terkawal sebelum kami dibolosi buat kali kedua.

"Jadi adalah sukar untuk bangkit memandangkan PSG berkualiti tinggi. Pada akhirnya, mereka merupakan pasukan yang lebih baik.

"Anda harus akur, ia pahit untuk ditelan tetapi inilah bola sepak."

Leipzig bermula garang tetapi sukar untuk lari daripada hakikat bahawa kelibat penyerang Jerman yang baru-baru ini menyatakan perpindahannya, Timo Werner, amat dirindui di jentera serangan mereka.



"Dalam 10 minit pertama, kami mempunyai tiga atau empat detik yang baik untuk membuka permainan. Kami melakukan dua atau tiga kesilapan besar," katanya lagi.

"Sebaik melepaskan gol kedua, kepercayaan pemain sedikit menurun. Saya rasa itu adalah normal tetapi ia merumitkan lagi situasi kami.

"Ini adalah soal perwatakan, kami melakukannya dengan baik dalam babak kedua tetapi tanpa penyudah jitu."

Leipzig perlu segera mengatur langkah menjelang kempen baru Bundesliga, justeru Nagelsmann menegaskan anak buahnya akan bertindak balas terhadap kempen UCL itu yang menyaksikan mereka mampu menundukkan Benfica, Tottenham dan Atletico Madrid.

"Bukan mudah untuk melupakan pencapaian kami dalam UCL ini tetapi dalam tempoh seminggu, perasaan itu pasti berlalu," tambahnya.

"Kami akan berusaha untuk mengulangi lagi pada musim-musim berikutnya. Pemain akan diberi cuti selama seminggu, kemudian kami harus mencuba dan melakukannya lagi dalam Bundesliga."