Pengganti Vingada ditentukan dalam masa terdekat

Oleh Penulis Jemputan 6 Disember 2017 3460
Pengganti Vingada ditentukan dalam masa terdekat
Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menegaskan pengganti tampuk kejurulatihan yang ditinggalkan bekas ketua jurulatih negara, Nelo Vingada, akan ditentukan dalam masa terdekat.

Bersesuaian dengan kedudukan skuad negara yang perlu menghabiskan satu lagi baki perlawanan kelayakan Piala Asia pada Mac depan, pengganti Vingada harus dilantik pada kadar segera.

Persediaan awal sebelum bermulanya saingan Piala AFF pada November 2018 juga perlu diambil kira dan FAM mungkin sudah ada calon pengganti.

Namun, segala-galanya hanya akan diumumkan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berhubung posisi panas ketua jurulatih skuad negara.

“Memandangkan tugasan untuk bagi menghadapi perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia ialah bulan Mac dan membut persiapan menghadapi saingan Piala AFF tahun depan, kami perlu mendapatkan pengganti Vingada,” katanya.

Menurut Hamidin, tiada perancangan untuk meletakkan penolong jurulatih, Tan Cheng Hoe, sebagai pengganti selain turut merahsiakan sama ada khidmat pengendali luar atau tempatan bakal mengambil alih daripada Vingada.

“Presiden akan membuat keputusan yang tepat bagi mendapatkan ketua jurulatih skuad negara yang baru,” ujarnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen