Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) berharap isu penggabungan diantara Selangor dan PKNS FC dapat diselesaikan secepat mungkin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam, melahirkan kebimbangan kerana situasi itu mampu memberi kesan kepada perjalanan liga musim depan.

"Penggabungan ini bukan isu mudah kerana ia melibatkan banyak pihak. Kalau ia akan memberi kebaikan daripada segi pengurusan pasukan dan korporat, jadi penggabungan itu akan membawa impak positif," jelasnya.

Idea penggabungan kedua-dua pasukan kini menjadi bualan ramai, lebih-lebih lagi pihak kerajaan negeri difahamkan telah mengadakan perbincangan dengan PKNS berhubung perkara tersebut.

Dalam perkembangan lain, Kevin tidak menolak kemungkinan aksi play-off akan dilangsungkan jika DRB-Hicom FC menarik diri daripada Liga Perdana musim depan.

Biarpun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilihat lebih berpeluang kerana menamatkan cabaran di tangga ke-11, Kevin mahu melihat daripada semua aspek sebelum membuat keputusan.

"Kemungkinan play-off itu akan berlaku tetapi ahli jawatankuasa yang akan menentukan pasukan manakah yang akan terlibat." katanya.

DRB-Hicom menamatkan kempen Liga Perdana musim ini di tangga ketujuh dengan mengumpul 29 mata.