Pengadil juga memerlukan latihan, kata bekas pengerusi jawatankuasa pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh, sambil mencadangkan agar badan induk itu tidak berkira dalam membina mutu pengadil yang lebih baik bagi masa akan datang.

Jelasnya, latihan simulasi perlu diberikan kepada pengadil tempatan bagi menjamin prestasi yang lebih baik seandainya FAM benar-benar mahu meningkatkan mutu pengadilan dalam saingan Liga Malaysia.

Tambahnya lagi, FAM perlu menyediakan lebih perbelanjaan seandainya mempertimbangkan kepentingan latihan simulasi itu dalam masa terdekat ini.

"Kepada FAM, selalu saya sebutkan supaya pengadil ini juga diberikan latihan dalam bentuk dan konsep yang sama sepertimana pasukan melakukan latihan.

"Sebab pasukan melakukan latihan rutin setiap hari untuk membentuk persefahaman.

"Begitu juga dengan pengadil, jadi FAM perlu melaburkan sedikit amaun supaya mereka (pengadil) dapat mengadakan latihan dalam bentuk simulasi bersama pemain," katanya.

Bagi bekas pengadil Piala Dunia itu, usaha FAM dalam menilai prestasi pengadil dalam tempoh semusim ini -- yang menjurus kepada penggantungan lapan pengadil selepas empat pasukan membuat laporan rasmi berkaitan prestasi pengadilan -- merupakan sesuatu yang telus.

Namun, perlu ada jalan penyelesaian yang diambil badan induk itu demi memastikan ada perubahan daripada aspek kualiti pengadil bagi masa akan datang.

"Sebenarnya penggantungan itu, contohnya dalam satu perlawanan, 24 jam selepas perlawanan itu, pengadil akan menghantar laporan kepada jawatankuasa di FAM selaku penyeleras.

"Dan apabila FAM mendapat laporan itu, mereka akan melakukan analisa dan siasatan.

"Sekiranya ia melibatkan kesilapan yang jelas atau melibatkan perubahan keputusan sesuatu perlawanan disebabkan kesilapan pengadil, maka tindakan segera akan diambil di mana penggantungan akan berjalan," tambahnya.