Pengendali Wales, Chris Coleman, mendedahkan pemainnya nyata kecewa selepas mencatat seri 1-1 berdepan Serbia di laman sendiri dan berasakan mereka sepatutnya mengutip tiga mata.

Wales hampir mengesahkan kemenangan menerusi Gareth Bale pada separuh masa pertama, namun jaringan penyamaan oleh Aleksandar Mitrovic pada lewat permainan memberi kesan terhadap peluang Wales untuk mara ke Piala Dunia 2018.

Coleman mengakui keputusan seri buat kali ketiga dalam saingan Kumpulan D itu sukar ditelan.

"Kami tidak bernasib baik dalam perlawanan ini," katanya kepada BBC Sport.

"Bagimanapun, kami juga sedar Serbia memiliki pasukan yang mantap.

"Namun pada babak pertama, Serbia tidak berjaya menembusi gawang kami dan penjaga gol, Wayne Henessey hanya perlu membuat satu tampanan sahaja. Saya sangat berpuas hati dengan prestasi pemain saya.

"Selepas ini kami perlu berdepan Republik Ireland sebanyak dua kali. Jadi, senario kami ketika ini agak menarik. Jika kami berjaya menewaskan Georgia sebelum ini, mungkin keputusan seri ini tidak terlalu mengecewakan."