Pemain Sang Badak sertai kursus kejurulatihan

Oleh Staff Writer 27 Oktober 2016 7
Pemain Sang Badak sertai kursus kejurulatihan

'Sediakan payung sebelum hujan', itu yang dilakukan oleh 16 pemain Sang Badak yang kini mengikuti kursus kejurulatihan lesen C di Kota Kinabalu.

Antara pemain yang menyertai kursus dari 24 Oktober hingga 6 November itu, ialah Maxsius Musa, Leopold Alfonso Otong, Alto Linus, Rawilson Batuil, Jenius Karib, Randy Baruh, Rozaimie Rohim, Ummareng Bacok, Julamri Muhammad dan Shafuan Adli Shaari.

Kursus berkenaan dikendalikan R Gopalkrishnan dari Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), dan dikatakan ia adalah ruang terbaik untuk pemain dalam persediaan mereka memasuki bidang kejurulatihan pada masa akan datang.

Difahamkan, skuad Sabah kini berehat panjang sejak perlawanan terakhir liga mereka pada 21 Oktober lalu, dan hanya akan menyambung latihan bermula 14 November depan.

Sang Badak sekali lagi menamatkan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dengan penuh kekecewaan, apabila sekadar menamatkan saingan di tangga kesembilan Liga Perdana, selain gagal layak ke saingan Piala Malaysia.

Difahamkan juga, pihak pengurusan Sabah kini sudah mula mengenal pasti pemain sedia ada, yang akan dikekalkan pada musim depan selain mula mengintai pemain import luar negara dan tempatan, bagi menghadapi saingan musim baharu, tahun depan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen