BASEL 1 PSG 2

Unai Emery menghamburkan pujian ke atas skuad Paris Saint-Germain (PSG) yang berjaya melaksanakan perancangannya dengan sempurna selepas mereka membenam Basel pada awal pagi tadi untuk layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.


Blaise Matuidi membuka tirai jaringan buat jaguh Ligue 1 itu di St Jakob-Park, namun Luca Zuffi berjaya mengikat kedudukan.

Bagaimanapun, Thomas Meunier muncul wira PSG pada penghujung perlawanan selepas pemain tuan rumah, Serey Die, dibuang padang.

Kemenangan itu membantu PSG untuk melepasi peringkat Kumpulan A di samping Arsenal yang menewaskan Ludogorets 3-2 sehingga mendorong Emery untuk memuji usaha pemain-pemainnya di Switzerland.

"Saya gembira," katanya kepada BeIN Sport. "Kami perlu memenangi perlawanan ini dan saya rasa kami telah memperagakan aksi menarik dengan penguasaan permainan di bahagian pertahanan dan serangan sepanjang perlawanan.

"Selepas mendahului 1-0, adalah penting untuk menjaringkan gol kedua dan pemain-pemain telah berusaha untuk menambah gol lagi, namun lawan kami sentiasa memiliki peluang.

"Mereka menjaringkan gol untuk memberi kesukaran kepada kami. Kami telah mencuba sedaya-upaya, sebaliknya pasukan lawan berjaya menyamakan kedudukan.

"Kemudian, kami berhempas-pulas pada 15 minit terakhir untuk mendapatkan gol kedua -- kami berjaya melakukannya dan kami sangat gembira.

"Bagi saya, selepas menang dan layak, adalah penting untuk melonjak keyakinan pasukan. Kami beraksi seperti yang kami mahukan dan kami menang."