Pemain bola sepak boleh bertahan enam bulan tanpa gaji -- Tevez

Oleh Nafis Abdullah 3 April 2020 1169
Pemain bola sepak boleh bertahan enam bulan tanpa gaji -- Tevez
Carlos Tevez percaya pemain bola sepak profesional di peringkat tertinggi patut menawarkan pemotongan gaji susulan wabak coronavirus.

Seperti semua pemain dalam dunia, bintang Boca Juniors, Tevez, kini sedang melalui penangguhan kempen domestik di Argentina.

Skuad Barcelona telah menerima pemotongan gaji sebanyak 70 peratus untuk memastikan kelab terus beroperasi ketika Sepanyol dalam keadaan kecemasan sambil pemain bintang seperti Lionel Messi, Cristiano Ronaldo, Kylian Mbappe dan Robert Lewandowski telah memberikan sumbangan untuk menyokong badan-badan berkaitan memerangi COVID-19.

Situasi itu menyaksikan bekas penggempur Manchester United dan Manchester City, Tevez, yakin setiap pemain mampu meneruskan kehidupan walaupun tidak dibayar secara penuh.

"Seorang pemain bola sepak mampu hidup selama enam bulan atau setahun tanpa menerima gaji," katanya.

"Kami bukan anak kecil yang perlu meninggalkan rumah pada jam enam pagi dan pulang petang untuk menyara keluarga.

"Kami bukan contoh terbaik untuk situasi ini, mungkin ya jika perkara lain. Kami harus membantu. Mudah untuk bercakap di rumah memandangkan makanan untuk anak-anak saya cukup.

"Namun, mereka yang terdesak, tidak mampu berpindah dan tidak boleh meninggalkan rumah, ia merisaukan."


Dalam masa sama, Tevez juga menegaskan pihak kelab harus memainkan peranan untuk membantu.

"Kelab harus terlibat. Selain datang ke sesi latihan di waktu pagi, mereka perlu memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk orang ramai," tambahnya.

"Sebagai contoh, pergi ke ruang makan di La Boca. Saya berbesar hati untuk ke sana. Saya tahu keluarga saya dalam keadaan baik.

"Ia adalah contoh terbaik. Anda membuat video, sama seperti saya dari ruang tamu di rumah tetapi contoh terbaik adalah membantu."

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen