Pele mendapati sukar untuk mempertahankan Neymar daripada sebarang kritikan susulan aksi lakonan melampau di atas padang dan menggesa bintang Brazil dan Paris Saint-Germain (PSG) itu untuk menggunakan sepenuhnya kebolehan yang ada.

Neymar menjadi sasaran kritikan ketika beraksi dalam Piala Dunia tatkala skuad Selecao tewas di peringkat suku akhir di tangan Belgium.

Juara Piala Dunia tiga kali, Pele, berpendapat lakonan produk kelab Santos itu sukar untuk dipertahankan.

"Sukar untuk mempertahankan Neymar di atas segala perkara yang dilakukan selain daripada bermain bola sepak. Saya bercakap dengannya dan mengingatkan tentang kelebihan yang dimilikinya," kata Pele.

"Dia tidak bernasib baik kerana Brazil tidak menjuarai Piala Dunia.

"Saya telah menemuinya dua kali di Eropah. Kami berbincang dan saya memberitahunya: "Tuhan bola sepak memberikan anda anugerah. Anda telah merumitkannya."

Pele percaya Neymar adalah pemain yang lebih bagus berbanding rakan sepasukannya di PSG, Kylian Mbappe, yang memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik setelah Perancis menjuarai saingan di Russia 2018.

Mbappe muncul pemain muda pertama menjaringkan gol berganda di pentas Piala Dunia selepas Pele melakukannya pada 1958 dan jaringan yang dihasilkan ketika final merupakan satu lagi pencapaian yang menyamai legenda Brazil itu.

"Orang ramai membandingkan saya dengan Mbappe dan memang wujud persamaan, bukan? Namun, dia baru berusia 19 tahun dan memenangi Piala Dunia," tambah Pele.

"Saya rasa Neymar lebih sempurna berbandingnya tetapi di Eropah, semua orang bercakap tentang Mbappe."

Dalam masa sama, kesihatan Pele menjadi perhatian Januari lalu selepas dia menarik diri daripada satu penampilan di United Kingdom.

Namun, dia memberikan penjelasan dengan berkata: "Syukur kepada Tuhan, saya sihat. Saya melalui tiga pembedahan sebelum ini tetapi tidak pulih sepenuhnya. Saya tidak rasa sakit tetapi lemah."