Penyerang Red Star Belgrade, Milan Pavkov, mendedahkan dia mungkin tidak dapat tidur untuk dua atau tiga malam selepas membantu kelab Russia itu menewaskan Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Pavkov menjaringkan dua gol dalam separuh masa pertama untuk memastikan Red Star meraih kemenangan pertama di peringkat Eropah sejak tahun 1992.

Penyerang berusia 24 tahun itu mengakui bahawa sukar untuk dia melupakan kenangan manis itu yang turut menghidupkan peluang pasukannya dalam Kumpulan C.

"Saya sudah lama menantikannya. Saya menyatakan sebelum ini yang saya mahu menjaringkan gol ke atas Liverpool dan saya berjaya melakukannya sebanyak dua kali," kata Pavkoc kepada UEFA.com.

"Saya mungkin tidak dapat tidur. Saya pernah melaluinya selepas memenangi perlawanan liga sebelum ini dan kemenangan kali ini lebih membuatkan saya teruja.

"Saya mungkin tidak dapat tidur untuk dua atau tiga malam.

"Namun, saya perlu menggantikan tidur tersebut pada waktu pagi kerana masih perlu melalui perlawanan penting hujung minggu ini," tambahnya.

Red Star kini mengumpul empat mata untuk kekal bersaing dalam Kumpulan C bersama Napoli dan Liverpool (enam mata) serta Paris Saint-Germain (lima mata).

Pertahanan Red Star, Milos Degenek, berasakan bahawa Liverpool terlalu memandang rendah mereka dan mendedahkan James Milner terkejut dengan suasana perlawanan yang dihadapi mereka.

"Kami bermain baik untuk menewaskan mereka.

"Pavkov menjaringkan dua gol yang indah, namun pemain-pemain lain juga menunjukkan aksi yang baik.

"Saya harap kami dapat mengekalkan aksi seperti itu untuk setiap minggu.

"Saya berasakan Liverpool terlalu memandang rendah kebolehan kami dan mereka terpaksa membayar kesilapan tersebut.

"Saya bercakap bersama Milner sewaktu di dalam terowong dan dia jelas terkejut dengan suasana perlawanan seperti ini," katanya.