Thomas Partey menjelaskan bahawa dia mahu terus kekal bersama Atletico Madrid untuk jangka masa panjang.

Pemain tengah serba boleh Ghana itu, yang telah melakukan 21 penampilan bersama Atletico musim ini selepas merakamkan kemenangan 1-0 ke atas Espanyol, Sabtu lalu, memberi bayangan bahawa dia tidak berpuas hati dengan tempoh beraksi di atas padang.

"Kadangkala saya berasa kurang senang di Atletico. Anda perlu beraksi dalam perlawanan penting untuk berasa gembira, kuat serta penuh keyakinan," katanya.

Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu menjelaskan kata-katanya itu telah disalah tafsir dan menegaskan dia berpuas hati beraksi di bawah pimpinan Diego Simeone.

"Selepas perlawanan Sabtu lalu, saya telah memberi ulasan yang telah disalah tafsir dan saya mahu menjelaskan perkara ini," kata Partey menerusi laman Instagram.

"Atleti adalah destinasi terbaik saya dan saya mahu berkembang lagi bersama pasukan ini.

"Benar, selepas berada dalam pasukan ini, saya dapat berasa kepentingan saya dan ia telah membantu saya untuk bekerja keras setiap hari."