Ajax mengesahkan Abdelhak Nouri terus diletakkan dalam koma selepas rebah dalam perlawanan persahabatan dengan Werder Bremen.

Aksi di Lindenstadion, Hippach, itu terpaksa dibatalkan selepas Nouri terbaring di atas padang dengan anggota paramedik membantu pemain berusia 20 tahun itu sebaik ambulans tiba di stadium itu.

Nouri kemudian diterbangkan dengan helikopter dan Ajax berkongsi perkembangan mengenai pemain itu.

"Jantung Appie (Nouri) dalam keadaan normal dan tidak terjejas," kata satu kenyataan Ajax.

"Namun, terlalu awal untuk mengatakan mengenai pemulihannya memandangkan fungsi otaknya tidak dapat diuji dengan betul selagi dia terus ditidurkan."

Jurulatih Ajax, Marcel Keizer, berkata ujian pra-musim ke atas Nouri menunjukkan pemain itu cergas 100 peratus.

"Kami menunggu keputusan ujian neurologi," kata Keizer kepada AT5.

"Keputusannya mungkin boleh didapati esok (hari ini). Dia dalam jangkaan rapi.

"Ia keputusan yang amat penting buat kami. Semua orang berasa tegang. Doktor kelab kekal di sana untuk terus berhubung dengan hospital.

"Keluarganya juga di sana, mereka akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum kami. Saya cuba mengalih tumpuan saya terhadap Ahad lalu dengan mengayuh basikal tetapi ia tidak berjaya."

"Tidak penting lagi sama ada pemain-pemain turun berlatih atau tidak, semua orang senang dengan Appie. Kami mengalu-alukan sesiapa untuk bercakap mengenainya, menangis bersama-sama," tambah Keizer.

"Hubungannya dengan rakan sebilik, Hakim Ziyech, sangat rapat. Ada sesetengah pemain telah beraksi bersamanya selama 12 tahun. Ia bukan mudah.

"Saya harap dia akan beransur pulih. Dia mewakili Ajax dengan dominan dan menampilkan bola sepak menarik. Itulah Appie.

"Kami tidak gusar dengan aksi kelayakan play-off Liga Juara-Juara Eropah.

"Appie adalah keutamaan."