Norshahrul mahu balas dendam dalam final

Oleh Staff Writer 17 November 2018 7430
Norshahrul mahu balas dendam dalam final
"Saya mahu jumpa Vietnam di final."

Itu hasrat penyerang sensasi negara, Norshahrul Idlan Talaha, yang bertekad untuk melunaskan dendam kekalahan 0-2 kepada Vietnam dalam aksi Kumpulan A saingan Piala Suzuki AFF, semalam.

Selepas mencatat dua kemenangan dalam aksi terdahulu, hasrat Malaysia untuk mengesahkan tempat lebih awal dalam separuh akhir lebur susulan kekalahan di tangan Vietnam itu.

Norshahrul mengakui pemain lawan bijak melemahkan kekuatan mental skuad Harimau Malaya untuk memastikan mereka mengutip tiga mata di depan penyokong sendiri.

"Pertahanan Vietnam banyak menggunakan kaedah psikologi dan mengganggu keadaan mental saya, jadi saya perlu kuat. Saya tidak berpuas hati dengan mereka dan kalau boleh, saya mahu bertemu mereka di final.

"Saya akan berjuang habis-habisan jika bertemu semula," kata Norshahrul.

Reaksi pemain yang mesra dipanggil Matyo itu jelas menunjukkan semangat pemain negara masih membara walaupun memilih laluan sukar susulan tewas kepada Vietnam dan dia serta rakan sepasukan tetap mempunyai keazaman untuk membawa Malaysia ke final.

Bagaimanapun, nasib skuad negara dalam kempen kali ini mirip edisi 2016 apabila terpaksa berdepan Myanmar dalam aksi terakhir untuk menentukan peluang ke separuh akhir.

"Skrip sama tetapi tahun berbeza. Namun, saya yakin dengan pasukan kali ini untuk pergi lebih jauh dan lawan Myanmar nanti, kami akan beraksi di laman sendiri, jadi mungkin tonik daripada penyokong lebih membantu," tambah penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen