Nishino rendah diri, Cheng Hoe mahu Chanatip dikunci

Oleh Penulis Jemputan 13 November 2019 4477
Nishino rendah diri, Cheng Hoe mahu Chanatip dikunci
Ketua jurulatih Thailand, Akira Nishino, melancarkan serangan psikologi terhadap Harimau Malaya tatkala ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, mahu pergerakan Chanatip Songkrasin 'dikunci' untuk melaksanakan misi meraih tiga mata dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Skuad Gajah Perang itu hadir ke Malaysia dengan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan.

Selepas mengikat Vietnam tanpa jaringan dalam aksi pertama, pasukan itu menjinakkan Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam dua perlawanan berikutnya.

Ia menyerlahkan Thailand dalam saingan Kumpulan G manakala Malaysia mengalami nasib berbeza dengan tewas kepada Vietnam dan UAE selepas menundukkan Indonesia.

Namun, Nishino menganggap peluang kedua-dua pasukan untuk memenangi perlawanan itu masih seimbang.
 
"Saya perlu menyatakan di sini bahawa perlawanan lalu bukan ukuran sebenar terhadap kekuatan kedua-dua pasukan walaupun kami lebih menyerlah berbanding Malaysia. 

"Jadi, peluang sama rata dan kami harus fokus perlawanan demi perlawanan untuk terus mencapai kemenangan," katanya.

Kepulangan semula Chanatip ke dalam skuad Thailand antara perkara yang menjadi perhatian kem kebangsaan.

Walaupun tidak mendedahkan pemain mana yang akan diberikan tugas khas untuk merantai pemain itu, Cheng Hoe mahu pergerakan Chanatip dikawal ketat.

"Kalau kita tengok, Chanatip sudah lama tidak bersama skuad kebangsaan Thailand.

"Dia satu-satunya pemain (Thailand) yang cukup kreatif dan berbahaya.

"Pada masa sama, pengalamannya beraksi di Jepun akan memberikannya keyakinan," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen