Nike lancar jersi baru Harimau Malaysia

Oleh Staff Writer 15 November 2016 47
Nike lancar jersi baru Harimau Malaysia
Selepas menewaskan Papua New Guinea 2-1 dalam perlawanan persahabatan, petang semalam, skuad bola sepak kebangsaan menerima seragam baru yang dilancarkan Nike di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.
   
Jersi utama (gelanggang sendiri) menampilkan warna-warna ikonik harimau -- kuning, hitam -- dengan keseluruhannya berwarna hitam dan satu jalur kuning masing-masing di kedua-dua bahagian sisi, sama seperti seluar.

Jersi kedua yang lazimnya digunakan ketika beraksi di luar, mengetengahkan warna putih dengan jalur biru di bahagian tepi, di mana Nike menjelaskan ia adalah gabungan warna pertama digunakan untuk pasukan kebangsaan. 

Pengurus Pemasaran Nike Malaysia, Nino Priambodo, dalam laporan media, berkata jersi tersebut direka berdasarkan maklum balas daripada pemain bagi menampakkan ia lebih ringan dan tangkas. 

"Perlawanan bola sepak telah berkembang sejak beberapa tahun yang lalu dan Nike sentiasa mendengar suara atlet. Daripada reka bentuk produk untuk pemasaran kepada inovasi baru bagi menyokong pemain-pemain dalam setiap perlawanan," katanya pada majlis pelancaran itu.

Tambah Priambodo, jersi baru itu juga dilancarkan sempena kerjasama 10 tahun Nike dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ketua pakar produk Nike Malaysia, Gary Arwin, menjelaskan jersi baru berkenaan dibuat lebih anjal dan ringan, kononnya dapat meningkatkan prestasi si pemakai.

Beberapa pemain negara seperti Baddrol Bakhtiar, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, Matthew Davies dan Nazirul Naim Che Hashim memperagakan kedua-dua jersi itu pada majlis pelancarannya yang turut dihadiri jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

Malaysia menewaskan Papua New Guinea 2-1 di Stadium Shah Alam, petang semalam, dalam aksi pemanas badan terakhir sebelum memulakan kempen Piala AFF Suzuki 2016 dengan menentang Kemboja, Ahad ini. 

Harimau Malaysia dijangka akan menggunakan seragam baru berkenaan di kejohanan serantau itu.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen