Neymar harus terus menyesuaikan diri dan bertambah baik selepas memulakan kehidupan di Paris Saint-Germain (PSG) andai dia berhasrat menjadi Lionel Messi versi kelab itu, menurut ketua jurulatih, Unai Emery.

Bintang Brazil itu telah meledak sembilan gol dalam semua pertandingan bersama pendahulu Ligue 1 itu serta mencipta lapan bantuan gol sejak tiba dari Barcelona dengan yuran rekod dunia €222 juta (RM1.1b), Ogos lalu.

Neymar akan menghadapi Marseille dalam Ligue 1 esok -- satu perlawanan yang berfungsi sebagai jawapan Perancis untuk pertemuan El Clasico dengan Real Madrid yang pernah dinikmatinya dalam LaLiga.

Emery ketika disoal dalam sidang media pra-perlawanan mengenai berapa lamakah Neymar akan menjadi "Lionel Messi versi PSG" tatkala dia menyifatkan penggempur itu sedang menuju ke tahap pembangunan berterusan walaupun dianggap sebagai pemain bintang.

"Dia perlu diberi masa untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukannya dan gaya permainan kami," kata Emery. "Dia perlu mengendalikan kesungguhan lawan dalam mengekangnya, namun dia mempunyai kualiti dan bakat individu.

"Kami akan melakukan apa yang kami mampu untuk membantunya menterjemahkan bakatnya kepada pasukan ini.

"Kami sedang bekerjasama dengannya menerusi rakaman perlawanan bagi mengkaji apa yang boleh diperbaiki, bagaimana dia dapat berada di posisi yang lebih baik, peralihan peranannya agar lebih baik.

"Penyesuaian itu bukan dibentuk selama seminggu atau enam bulan, malah lebih lama. Neymar adalah pemain yang hebat, dia bermain seperti Neymar. Peranan kami adalah membantunya berkembang dengan gaya tersendiri."

Julian Draxler merupakan salah seorang pemain yang jarang mendapat tempat sejak ketibaan Neymar dan Kylian Mbappe, namun pemain antarabangsa Jerman itu menghadirkan kekaguman pengurus itu dengan kemampuannya untuk beroperasi lebih ke bawah di bahagian tengah.

"Julian boleh membantu pasukan," kata Emery. "Menentang Bordeaux, dia bermain sangat baik di bahagian tengah.

"Dia juga bermain di posisi ini di peringkat antarabangsa. Dia mampu menguasainya dengan tekniknya, dia sangat positif."

Kemenangan 5-1 di Marseille musim lalu menjadi salah satu kemuncak kempen PSG dan Emery sedar dengan ancaman anak buah Rudi Garcia itu.

"Di Sepanyol, apabila anda menonton bola sepak Eropah, khususnya bola sepak Perancis, anda tahu bahawa pertemuan Marseille-PSG adalah perlawanan besar," katanya lagi.

"Pemain-pemain tahu bahawa ia adalah perlawanan yang berbeza untuk penyokong di seluruh Perancis -- mereka menyedari kepentingannya.

"Lima pemain Perancis dalam kesebelasan utama menekankan betapa mustahaknya kehadiran pemain-pemain seperti Thiago (Silva), Marco (Verratti) dan Marquinhos. Mereka juga tahu bahawa ini aksi penting. Sebuah perlawanan besar."